MASJID INDAH MENJADI TUMPUAN PENERBIT DRAMA - ADHA JAMALULAIL

Blog About Latest Issues, Great Offer And Good Deal, Blog Tips, Tricks, Tutorial, Seo Tips And Serp, Blog Monetization, Hotel And Product Review Including Advertorial, School And Learning English.

Responsive Ads Here

Post Top Ad

Your Ad Spot

Saturday, 11 March 2017

MASJID INDAH MENJADI TUMPUAN PENERBIT DRAMA

PUSAT Islam Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tersergam indah di Kuala Kubu Bharu, Selangor.
MASJID INDAH MENJADI TUMPUAN PENERBIT DRAMA


KUALA LUMPUR: Tersergam indah di kaki Banjaran Titiwangsa berhadapan bekas lombong peninggalan kolonial Inggeris, Pusat Islam Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Kuala Kubu Bharu, Selangor, dilihat sebagai masjid yang amat mendamaikan.

Suasana tenang dan kehijauan kawasan di pusat Islam itu menjadikan ia lokasi pilihan pihak produksi untuk membuat penggambaran drama serta iklan termasuk daripada syarikat automotif dan minuman antarabangsa.

Penolong Pengarah Pusat Islam Darul Quran JAKIM, Muhammad Adam Ab Rashid, berkata suasana tenang dan sejuk menjadikan masjid berkenaan pilihan utama pelajar yang memerlukan tempat sunyi untuk mengulang kaji pelajaran dan menghafaz al-Quran.

"Ruang solat masjid ini juga digunakan sebagai kelas untuk subjek tertentu selain menjadi lokasi pelajar mengulang kaji bacaan al-Quran. Pelbagai kemudahan ada di pusat ini seperti mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin air minuman," katanya.

Pusat Islam Darul Quran JAKIM turut menerima jemaah daripada kalangan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Bharu dan penuntut Institut Kemahiran Belia Negara Peretak yang datang untuk menunaikan solat Jumaat

ANTARA corak pada dinding yang terdapat di dalam Pusat Islam Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Ancaman najis burung

Berada di laluan migrasi burung, masjid itu berdepan masalah najis burung yang bukan sahaja bertebaran di kawasan sekitar tetapi turut mengotorkan ruang solat apabila singgah ketika musim penghijrahan.

Muhammad Adam berkata, bagi mengatasi masalah itu, jaring dipasang pada bahagian atas masjid yang berlubang tetapi usaha berkenaan tidak berhasil. Pihak masjid kemudian memasang cermin kaca bagi menutup lubang malangnya burung masih boleh memasuki bahagian luar ruang solat.

"Kontraktor mencadangkan supaya memasang dawai berduri pada semua lampu dan bahagian tembok bagi mengelakkan burung hinggap di atasnya. Alhamdulillah, tiada lagi burung yang hinggap di bahagian tembok atas masjid dan di lampu sekeliling bangunan ini," katanya.

Beliau berkata, program mengimarahkan masjid yang dianjurkan Pusat Islam Darul Quran seperti gotong-royong, kursus penyembelihan, pengurusan jenazah, kursus imam dan bilal mendapat kerjasama Kelab Rakan Pusat Islam (RAPI) yang dianggotai 130 penuntut Darul Quran JAKIM.

Katanya, RAPI juga aktif menjalankan pelbagai program kemasyarakatan dan aktiviti mengimarahkan masjid serta surau yang berada di luar kampus.
 

INFO
Pusat Islam Darul Quran JAKIM


  • Mula digunakan pada tahun 2003
  • Bangunan tiga tingkat itu menjadi kelas pengajian al-Quran bagi dewasa dan mini tahfiz untuk kanak-kanak.
  • Seramai 130 peserta dewasa dan kanak-kanak mengikuti pengajian al-Quran di sana.

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad

Your Ad Spot